Digital Clock with Islamic Ornament

Thursday, January 31, 2013

BMM 3101 Mengaplikasikan Kemahiran Bernilai Tambah Dalam Langkah Pengajaran Bahasa Melayu


Pendahuluan

Pada tahun 2000 Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat semakan kurikulum kerana struktur dan kandungan kurikulum sedia ada tidak memenuhi keperluan sejagat, sebagaimana yang disarankan oleh UNESCO dalam “The Treasure Within” Report to UNESCO of the International Commisioan on Education for the Twenty-first Century Learning” ( 1995 ). Laporan ini menyatakan konsep pembelajaran seumur hidup adalah syarat untuk memenuhi cabaran abad ke-21.

Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan kemahiran bernilai tambah (KBT ) dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah untuk mencapai hasrat Kementerian Pelajaran supaya kurikulum ini mampu memenuhi aspirasi negara. Kemahiran bernilai tambah terdiri daripada kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kajian masa depan, kemahiran belajar cara belajar,kecergasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme, dan pembelajarn kontekstual.

Kemahiran bernilai tambah mengutamakan pengalaman yang diperolehi oleh  murid di bilik darjah lalu mengunakan kemahiran yang diperolehi dalam situasi kehidupan murid serta dapat mengaplikasikannya dalam dunia sebenar.

KEMAHIRAN BERNILAI TAMBAH DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU
Kemahiran bernilai tambah dalam pengajaran Bahasa Melayu bertujuan memantapkan kebolehan berbahasa dan meningkatkan perkembangan dan kebolehan pelajar dari segi kognitif, afektif, emotif dan psikomotor pelajar. 

Sehubungan dengan itu, penyerapan kemahiran bernilai tambah mengambil kira aspek  kesesuaian objektif dan hasil pembelajaran. Selain daripada itu,  bahan dan teknik untuk pengajaran kemahiran bernilai tambah perlu diambil kira supaya proses pengajaran difahami oleh murid. Guru juga perlu merancang peruntukan masa serta menyusun langkah  pengajaran untuk menyerapkan jenis kemahiran bernilai tambah supaya mencapai hasil pembelajaran.Dalam kemahiran bernilai tambah juga mengambil kira aspek penilaian secara formatif.

Sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran, serta memikirkan jenis kemahiran bernilai tambah yang boleh diserapkan dan dihubungkaitkan dengan objektif . Selain itu,guru harus menentukan kemahiran bahasa yang dijadikan fokus, sama ada kemahiran mendengar dan bertutur, membaca atau menulis supaya aktiviti dan langkah pengajaran yang dirancang dapat dilaksanakan serta  mencapai hasil pembelajaran. Langkah yang terancang untuk pengembangan kemahiran bernilai tambah perlu agar kemahiran ini dapat diserapkan kepada murid dengan berkesan.

Sebagai contoh, guru menetapkan objektif pelajaran berdasarkan hasil pembelajaran di Tahun 3. Dalam hasil pembelajaran ini fokus bahasa yang dipilih ialah kemahiran mendengar dan bertutur . Manakala objektif yang ingin dicapai ialah murid boleh berbual tentang sesuatu perkara berkaitan kehidupan seharian dengan menggunakan kata, ungkapan, ayat, sebutan, intonasi dan nada yang sesuai serta murid boleh menggunakan kata panggilan yang sesuai mengikut situasi dalam perbualan.

Dalam objektif di atas beberapa aktiviti jenis kemahiran bernilai tambah boleh dihubungkaitkan dengan hasil pembelajaran . Di antaranya aktiviti mendengar
rakaman dialog yang mengandungi kata panggilan formal, diikuti  dengan latihan secara berpasangan, seterusnya murid boleh melakonkan semula kata bual yang didengar menggunakan kata panggilan yang betul dan secara tidak langsung dapat melatih kemahiran mendengar dan bertutur kepada murid. 

Selain daripada itu, aktiviti mendengar secara intensif dan latih tubi dalam bentuk soal jawab tentang bahan yang didengar dapat  menyerapkan kemahiran mendengar sebagai suatu aspek kemahiran belajar.

Melalui teknik lakonan seperti berjumpa kawan lama dan keluarganya, murid boleh berlatih bertutur dan mendengar dengan menggunakan kata panggilan yang sesuai dalam situasi tertentu . Oleh itu, murid dapat mengasah kecerdasan interpersonal yang merupakan  suatu kemahiran  yang penting untuk perkembangan diri individu.

Selain daripada itu, latihan membuat rumusan tentang penggunaan kata
panggilan bagi situasi formal dan tidak formal berdasarkan bahan yang didengar atau dibaca merupakan pengabungjalinan kemahiran membaca dan menulis .
Aktiviti ini untuk menguji pengetahuan sedia ada murid. Oleh itu, murid boleh  meningkatkan kemahiran membuat kesimpulan atau rumusan yang merupakan kemahiran bernilai tambah yang merujuk kepada kemahiran berfikir.

Pelbagai teknik lain yang lebih kreatif dalam pengajaran yang boleh diserapkan dengan menggunakan kemahiran bernilai tambah yang sesuai seperti kemahiran kontekstual. Walau bagaimanapun, kemahiran bernilai tambah perlu diolah secara terancang dalam langkah pengajaran supaya mencapai objektif pengajaran. Hasil pembelajaran yang menjadi fokus pengajaran harus disisipkan kemahiran bernilai tambah melalui proses yang berterusan, berulang-ulang dan kreatif supaya murid dapat menggunakannya dalam kehidupan seharian. 

Penyerapan kemahiran bernilai tambah dalam pengajaran dapat menjadikan ilmu yang dipelajari oleh murid dalam kelas lebih bermakna dan releven dengan tuntutan kehidupan mereka pada masa hadapan.

Contoh pengajaran lain yang boleh dihubungkaitkan dengan kemahiran bernilai tambah ialah objektif yang memerlukan murid mengemukakan tiga inferens kesan pemakanan tidak seimbang ia merujuk kepada kemahiran masa depan. 

Manakala objektif mencatat lima maklumat penting berdasarkan maklumat yang didengar merujuk kepada kemahiran mencatat nota yang terdapat dalam kemahiran belajar cara belajar.

Selain daripada itu, jika murid menggunakan komputer untuk membuat peta minda bermakna murid tersebut telah memperolehi kemahiran bernilai tambah yang merujuk kepada  kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi.

Proses pengajaran yang menyerapkan kemahiran bernilai tambah memerlukan perancangan masa yang sesuai kerana ia selalunya bertindan dengan kemahiran yang lain seperti kemahiran berfikir dan kemahiran belajar cara belajar terutamanya untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. 

Contohnya, mengaplikasikan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi memerlukan masa yang panjang untuk dipelajari oleh murid. Oleh itu, jumlah masa yang diperuntukkan lebih panjang berbanding dengan kemahiran yang tidak menjurus kepada kemahiran bernilai tambah.

Selain daripada itu, penyerapan kemahiran bernilai tambah dalam pengajaran memerlukan satu atau dua aktiviti . Contohnya melatih murid membaca secara imbasan indeks, menukarkan maklumat teks kepada bentuk grafik atau mengajar cara membuat generalisasi. Hal yang demikian, menuntut guru merancang masa, pengurusan kelas dan bahan yang lebih efisien supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Untuk melihat tahap penguasaan murid dalam kemahiran bernilai tambah, guru merujuk kepada hasil pembelajaran yang menjadi objektif dan fokus pengajaran
melalui penilaian formatif yang dijalankan melalui aktiviti penyerapan kemahiran bernilai tambah. Contohnya, apabila seorang murid diminta melakonkan semula rakaman yang diperdengarkan. Penilaian bukan sahaja dibuat dari segi bahasa tetapi merujuk kepada ketepatan memilih kata dan kelancaran sebutan. Malah guru boleh meletakkan ukuran kreativiti dan penghayatan untuk menilai tahap kecerdasan kinestatik. Di sini jelas menunjukkan bahawa kemahiran bernilai tambah diintegrasikan dengan isi pelajaran teras iaitu hasil pembelajaran  secara terancang pada waktu pengajaran. Bagi melaksanakan pengajaran demikian, guru harus bijak memilih dan menggunakan teknik pengajaran yang sesuai supaya kemahiran bahasa dan kemahiran bernilai tambah dapat dikuasai oleh murid. 

Kesimpulan
Oleh itu, kemahiran bernilai tambah yang diintegrasikan secara penyerapan dalam Kurikulum Bahasa Melayu yang mengabungjalinkan hasil pembelajaran dengan kemahiran bahasa, tatabahasa dan kosa kata menjadi prinsip asas dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Kemahiran bernilai tambah merupakan asas yang penting untuk melahirkan murid yang bersedia untuk menghadapi kehidupan di dunia yang sebenar. Wajarlah, kemahiran ini  diserapkan dalam pengajaran khasnya mata pelajaran Bahasa Melayu supaya murid dapat memahami dan menggunakannya di masa depan.

No comments:

Post a Comment