Digital Clock with Islamic Ornament

Monday, February 18, 2013

Kedudukan Agama Islam di Malaysia



Kedudukan Islam Kukuh Dalam Perlembagaan Persekutuan

Published by AIDC 

Isu kedudukan Islam dan sifat sekular negara masih dibawa ke hadapan. Sesekali terfikir, apa sebenarnya tujuan pihak yang mahu meletakkan sifat sekular kepada negara? Saya tidak nampak jawapan lain, kecuali mahu menolak kedudukan dan peranan Islam pada negara ini.
Peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas meletakkan Islam sebagai agama negara. Adalah amat tidak adil kepada Islam sekiranya ada pihak tertentu cuba melahirkan keraguan mengenai kedudukannya. Adalah amat tidak adil kepada Islam sekiranya ada pihak tertentu cuba melahirkan keraguan mengenai kedudukannya.
Sudah sekian lama masyarakat Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia, berpegang kepada kedudukan Islam sebagai agama negara. Pegangan ini bukan sesuatu yang datang bergolek. Bukan juga turun dari langit. Bukan berlaku sewenang-wenang atau hanya omong kosong.
Pegangan ini diasaskan kepada prinsip tertanam jauh ke dalam tanah dan air bumi Malaysia ini. Ia sudah dibuktikan sejarah. Sudah terang juga Islam ditatahkan dalam dokumen undang-undang dan jelas terpahat dalam pelbagai amalan.

Kedatangan kuasa asing yang memperkenalkan undang-undang sekular tidak sedikit pun menghapuskan pegangan terhadap kedudukan Islam.

Oleh itu sebarang idea yang bercanggah dengan pegangan masyarakat umum tidak boleh dibiarkan melata. Ia idea yang salah; jelas bercanggah dengan pegangan umum yang disokong dengan pelbagai bukti. Sekiranya dibiarkan ia boleh membahayakan negara.


Islam agama bagi Persekutuan

Jelas dalam Perkara 3(1), Islam adalah agama bagi Persekutuan. Tiada sebarang sekatan atau syarat yang dikenakan ke atas Islam untuk menjadi agama negara. Sebaliknya, amalan agama lain itu diikat dengan formula aman dan damai. Menerusi Perkara 3(1) kita dapat lihat kedudukan itu secara tersurat dan bukannya difahami secara tersirat.

Kedudukan istimewa Islam dimaktubkan dalam Perlembagaan bukan dalam Perkara 3 saja. Kita juga dapat melihat peruntukan yang jelas mengenai kedudukan Islam dalam perkara 12(2) dan juga sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 12(2) dengan jelas dan terperinci, menyebut mengenai keistimewaan yang diberikan kepada institusi pendidikan Islam, yang mana, fasal berkenaan dengan jelas menyebut: “Adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan seperti yang perlu bagi maksud itu”.

Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang menggunakan lafaz wallahi, wabillahi, watallahi meletakkan tanggungjawab ke atas baginda untuk “… mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam”. Lafaz sumpah yang disebut itu sangat tinggi maksudnya dalam agama Islam.

Jika dilihat kepada pengisian Perlembagaan ini, di manakah mahu ditempatkan pendapat mengenai sifat sekular negara ini? Kalaulah dirujuk kepada keputusan Ketua Hakim (pada masa itu dikenali sebagai Lord President) Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah jelas.


Tak iktiraf sifat sekular
Apa dinyatakan dalam penghakiman itu ialah, undang-undang sekular yang wujud sebelum penubuhan Perlembagaan masih beroperasi dan masih menjadi undang-undang yang sah untuk diamalkan di negara ini. Tidak ada pernyataan dibuat dalam penghakiman berkenaan yang memberi atau mengiktiraf sifat sekular negara ini. Dalam ayat penghakimannya, disebut: “far from making such provision, Article 162, on the other hand, purposely preserves the continuity of secular law prior to the Constitution…”

Maksud saya di sini, mahkamah mengiktiraf kewujudan undang-undang sekular di negara ini. Kewujudan undang-undang sekular ini tidak menafikan Islam sebagai agama bagi negara ini, walaupun sudah memberi calitan negatif kepada kedudukan Islam sebagai agama bagi negara. Dalam kata lain, walaupun wujudnya undang-undang sekular, selagi Islam itu adalah agama negara, ini tidak menjadikan negara ini negara sekular – baik sekular jenis liberal atau sekular rigid. Sekularisme tidak pernah mendapat tempat di negara ini.

Jika benar kita menjunjung prinsip ketinggian Perlembagaan, sifat agama negara ini tidak harus dijadikan persoalan atau diragui lagi. Perlembagaan itu sendiri yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Frasa Perlembagaan begitu jelas dan terperinci sekali.

Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

No comments:

Post a Comment